Want your
own Fotopage?








 
Cuti-cuti Malaysia! Semuanya ada...

By: Mohd Zulkifli Husain

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  [2]  3  4  >  >>]    [Archive]
Friday, 10-Nov-2006 02:46 Email | Share | | Bookmark
PULAU MABUL, SABAH

Rumah-rumah di perkampungan di Pulau Mabul
Bot nelayan penduduk tempatan
Sekitar resort
View all 9 photos...
Pulau Mabul antara pulau yang semakin mendapat perhatian di Sabah. Terletak kira-kira 30 min perjalanan bot dari Semporna, Pulau Mabul menjadi pilihan penginapan pelancong yang ingin ke Pulau Sipadan kerana tidak ada chalet atau resort beroperasi di Sipadan. Terdapat banyak resort dan chalet di sini yang kebanyakannya adalah agak mahal di samping perkampungan penduduk yang kebanyakannya adalah daripada keturunan Bajau (Muslim) dan juga pendatang Filipina.

Ketika singgah untuk ke Pulau Sipadan, saya sempat mengambil beberapa gambar sekitar Pulau Mabul. Pulau ini menawarkan pemandangan serta pantai yang cantik kepada pengunjung.


Thursday, 9-Nov-2006 06:51 Email | Share | | Bookmark
PULAU SIPADAN, SABAH

Pantai yang cantik
Asalnya adalah cafe, tapi sudah uzur
Kawasan bot berlabuh
View all 12 photos...
Kesempatan berkunjung ke Semporna, Sabah memberi peluang kepada saya untuk berkunjung ke pulau tersohor iaitu Pulau Sipadan. Pulau Sipadan terletak kira-kira 1 jam perjalanan bot laju dari pekan Semporna. Untuk berkunjung ke pulau ini, anda perlu mendapat permit DAN sekurang-kurangnya anda perlu menghubungi travel agensi seminggu lebih awal dari perjalanan anda kerana pemberian permit setiap hari adalah terhad kepada setiap travel agensi. Mengikut sumber, tidak lebih 120 orang dibenarkan berada di Pulau Sipadan antara jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dan anda tidak dibernarkan bermalam di pulau tersebut kerana faktor keselamatan selepas kejadian perculikan pelancong oleh kumpulan Abu Sayyaf. Jika anda ingin bermalam juga, anda bolehlah bermalam di Pulau Mabul yang terletak kira-kira 25 min perjalanan bot dari Sipadan.

Kos pakej ke Pulau Sipadan adalah antara RM160 - RM180, bergantung kepada travel agensi yang anda pilih. Kos ini termasuk tiket bot pergi balik, makan minum yang agak tidak terhad serta paralatan snorkling (bergantung budi bicara anda). Kos ini TIDAK termasuk penginapan.

Apa yang menarik di Pulau Sipadan
Pulau Sipadan terkenal di serata dunia sebagai antara destinasi diving/snorkling tercantik di dunia. Jadi, aktiviti dalam air seperti diving dan snorkling adalah aktiviti utama. Tiada lagi chalet, resort, hotel, restoran atau sebarang kedai beroperasi di sini. Pulau ini agak sunyi dan agak tidak terjaga. Jarang ada pengunjung yang melakukan aktiviti pantai seperti berjemur atau bermain-main kerana kebanyakan yang datang hanya untuk tujuan snorkling dan diving sahaja. Bot pelancong juga dilarang daripada diletakkan di tepi jeti/di hadapan pulau terlalu lama. Chalet-chalet lama kini dijadikan tempat penginapan anggota-anggota keselamatan yang bertugas 24 jam. Atas faktor keselamatan, anda juga dilarang ke bahagian belakang pulau ini. Hanya bahagian hadapan pulau yang tidak lebih dari 500 meter sahaja dibenarkan untuk anda bermain-main atau mengambil foto.

Aktiviti dalam air memang menakjubkan. Terdapat banyak kawasan terumbu karang di sekitar pulau untuk snorkling/diving. Namun, keseluruhan tempat dan kecantikan coral adalah lebih kurang sama sahaja. Anda dijamin akan dapat melihat banyak penyu berenang ketika melakukan snorkling/diving. Dan kelibat penyu juga dapat dilihat dengan jelas muncul di permukaan air ketika berada atas pelantar jeti (jika anda tidak mahu snorkling) - selain daripada hidupan marin, terumbu karang serta ikan-ikan lain. Jika anda bernasib baik (ataupung mungkin jadi nasib buruk) anda boleh melihat jerung berenang di bawah anda. Air di sini amat dalam disebabkan kedudukan pulau di tengah laut dan airnya agak sejuk serta berombak. Jika anda kurang biasa snorkling, anda perlu berhati-hati kerana situasi ini boleh menyebabkan berasa mual, muntah dan mabuk.

Pulau Sipadan memang antara pulau terbaik yang pernah saya kunjungi di negara ini. Jika anda berminat, saya mengesyorkan anda ke agensi travel Uncle Chang, Semporna tel: (+6)089-781002 atau 013-8930002, emel: unclechang99@hotmail.com. Perkhidmatan yang diberikan oleh mereka amat berbaloi.


Thursday, 29-Jun-2006 08:59 Email | Share | | Bookmark
MARANG, TERENGGANU

Sungai Marang. Scenario bot tersadai ada di mana-mana
Ketam di muara sungai
Gambar bot tersadai lagi
View all 6 photos...
MARANG adalah satu daerah yang popular di Terengganu dalam sektor pelancongan, lebih dikenali dengan nama pekan koboi dan jeti untuk ke Pulau Kapas.

Scenario kapal-kapal nelayan dan bot tersadai di tepi sungai menjadi trademark bandar Marang dan ia sekaligus menambah keunikan bandar Marang seperti sebuah pekan koboi. Lihat sajalah gambar-gambar di atas. Pelbagai jenis kapal dan bot mewarnai bandar Marang. Bahkan, jika anda ingin merasa suasana hidup masyarakat kampung, Marang adalah tempat yang sangat sesuai. Setiap pagi dan petang anda dapat melihat masyarakat kampung di situ menjalankan aktiviti harian mereka. Makanan di sini agak murah.

Bagi yang suka bercuti ditempat yang jauh dari kebisingan, Marang adalah tempat yang sesuai. Ada beberapa chalet dan rumah penginapan yang murah terdapat di sini selain Hotel Seri Malaysia Marang yang terletak di atas bukit menawarkan view menghadap Pulau Kapas. Dan jika anda hendak ke Pulau Kapas, ia hanya 10 minit saja dari jeti Marang.


Wednesday, 28-Jun-2006 07:35 Email | Share | | Bookmark
SIBU, SARAWAK

Pemandangan di Pintu Gerbang Sibu
Pintu Gerbang Sibu - jangan lupa ambil gambar di sini
Umai paling sedap ada di Sibu.
View all 6 photos...
SIBU adalah antara bandar yang agak 'happening' di Sarawak. Bandar yang sebahagian besarnya didiami oleh kaum Cina ini agak unik. Uniknya bandar Sibu kerana anda boleh melihat peniaga-peniaga Melayu menjual kuih-muih bersebelahan dengan peniaga makanan/daging babi di pasar malam setiap hari di bandar Sibu. Dan lebih uniknya, signboard berbahasa Cina termasuk signboard jalanraya boleh didapati di mana-mana seolah-olah anda berada di negara China.

Dari Kuching ke Sibu lebih kurang 420 km ataupun lebih 5 jam memandu. Jika anda memandu, anda perlu menaiki feri di Sarikei untuk ke Sibu (sekarang ini mungkin sudah siap jambatan). Penerbangan domestik dari Kuching ke Sibu (MAS RM90 sehala) merupakan pilihan yang lebih tepat dan murah berbanding memandu kerana keadaan jalanraya - tiada lebuhraya dan itulah satu-satunya jalan yang digunakan untuk ke Sri Aman, Sarikei, Sibu, Miri, Limbang dan sebagainya dari Kuching.

Kedudukan Sibu agak jauh dari pantai. Jadi, tiada pemandangan pantai yang boleh anda temui dan tiada juga tempat yang sangat istimewa di sini yang boleh dihighlight, kecuali barang-barang di sini agak murah. Berbanding dengan beberapa bandar di Semenanjung, Sibu boleh dikategorikan sebagai bandar yang besar dan membangun.

Namun, jika anda melawat Sibu, jangan lupa menikmati Umai di Foodcourt Taman Harmoni, Sibu. Umai adalah isi ikan mentah berkuah yang digaul dengan bawang dan dimakan bersama nasi. Ia adalah lauk/makanan tradisional Sarawak dan ada di hampir semua bandar. Namun, umai di Sibu adalah yang paling sedap pernah saya makan.


Tuesday, 27-Jun-2006 06:37 Email | Share | | Bookmark
KUCHING, SARAWAK

Pemandangan daripada Kuching Waterfront
Bot kecil yang boleh anda naiki untuk bersiar-siar di Sg Sarawak
Ibu segala kucing terletak di sini.
View all 6 photos...
BANDARAYA KUCHING, ibu negeri Sarawak ialah antara bandaraya paling bersih di dunia dan pernah memenangi Healthy Cities 2004 oleh WHO. Di mana-mana bandar kecil pun di Sarawak yang pernah saya kunjungi seperti Miri, Bintulu, Sri Aman, Sibu, Serian, Sarikei dan lain-lain lagi, memang tidak dinafikan Sarawak adalah negeri yang paling bersih di Malaysia. Malahan, jika dibandingkan dengan KL dan lain-lain bandar di Malaysia, Kuching adalah jauh lebih bersih.

Penerbangan dari KLIA ke KIA (Kuching International Airport) mengambil masa 1 jam 40 min dengan pesawat Boeing (tetapi 1 jam 20 min dengan pesawat Airbus MAS). Dari KIA ke pusat bandar (lebih kurang 11 km) tambang teksi adalah RM17.50 (teksi di Kuching adalah antara yang paling mahal di Malaysia - RM4 bagi 1km pertama).

Jika anda berkunjung ke Kuching, banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Kuching Waterfront adalah antara tarikan utama yang terdapat di Kuching. Selain keindahan Sungai Sarawak, kita boleh menikmati pemandangan bot-bot kecil (dan boleh dinaiki dengan tambang yang sangat murah) di situ serta melihat aliran air sungai yang bersih (walaupun tidaklah begitu jernih airnya). Kuching Waterfront juga adalah tempat tumpuan penduduk tempatan berkumpul untuk riadah bersama keluarga. Namun, anda perlu berhati-hati di sini terutamanya pada waktu malam kerana banyak penyeluk saku berkeliaran.

Bersetentangan dengan Kuching Waterfront itu, terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kraf yang saya pasti anda akan rambang mata untuk memilihnya. Daripada tikar Sarawak yang popular kepada hasil temikar yang beraneka bentuk seperti pasu, patung kucing dan sebagainya, semuanya ada ditawarkan dengan harga yang berpatutan. Begitu juga dengan hasil-hasil kraf lain seperti hasil ukiran yang berbentuk budaya aninisma penduduk tempatan seperti kaum Dayak dan Iban juga banyak dijual di sini.

Hotel Hilton, Crowne Plaza dan Holiday Inn adalah pilihan yang paling tepat jika anda ingin menikmati suasana pemandangan yang sangat menarik di samping untuk membeli-belah.


[<<  <  1  [2]  3  4  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net